Selasa, 4 Disember 2012

book review MEMIMPIN DIRI SENDIRI


Memimpin Diri sendiri karya Ahmad Zabidi Abdul Razak merupakan sebuah buku yang menerangkan bagaimana hendak membentuk kemahiran memimpin diri. Kemahiran ini amat penting bagi membentuk jati diri serta keyakinan seseorang individu terutamanya bagi para pelajar untuk memimpin diri sendiri mahupun sesebuah organisasi.  Dengan adanya kemahiran ini mereka akan mampu menguasai diri sendiri, tahu merancang masa hadapan dan tidak mudah mengalah dengan cabaran. Buku ini terdiri daripada lima bab yang utama dan dipecah-pecahkan kepada beberapa topik kecil. 

Bab pertama pertama dalam buku ini adalah mempimpin diri sendiri.  Di dalam bab ini potensi serta pengertian kepimpinan diri diolah secara ringkas tetapi padat dengan penerangan yang mudah difahami. Kepimpinan diri adalah proses seseorang individu menggunakan kekuatan dan kemahiran akal serta potensinya secara menyeluruh.  Bab kedua pula merangkumi teori-teori membina kepimpinan diri.  Pelbagai teori diperkenalkan dalam pelbagai bidang agar ia dapat digunakan sebagai panduan memimpin diri. Sebagai contoh, teori daya motivasi McClelland terdiri daripada empat daya motivasi yang utama antaranya adalah motivasi pencapaian, motivasi penggabungan, motivasi kemampuan dan motivasi kuasa.  Setiap motivasi yang ada dalam diri mampu menyerlahkan daya kepimpinan walaupun berhadapan alam situasi yang berbeza.

Di bab yang ketiga, penulis mengetengahkan cara untuk meningkatkan kepimpinan diri.  Strategi meningkatkan motivasi adalah berdasarkan model 7M iaitu matlamat yang jelas, merancang, memulakakan langkah yang pertama, memilih mentor, menetapkan pendirian, minda terbuka dan yang terakhir mempunyai fail peribadi. Setiap langkah adalah berturutan dan bersistematik.  Seterusnya, aspek pengukuhan diterangkan dalam bab keempat.  Aspek pengukuhan dapat dijalankan dengan memperbanyakkan pembacaan, mengimbas kembali, mengkaji masa hadapan serta disiplin dalam menghadapi tekanan.  Penentu utama kejayaan atau kegagalan adalah diri sendiri.  Tekanan mampu menggerakkan kita untuk berusaha menjadikan ia mampu dikawal.  Kawalan amat penting kerana apabila hanya tekanan yang diamalkan tanpa kawalan ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kegagalan mengawal diri dan akhirnya kita terorong untuk melakukan pelbagai perkara di luar batasan.  Selain daripada kemahiran tersebut, kepimpinan diri juga dapat dikukuhkan dengan membina kemahiran-kemahiran seperti memilih persahabatan, kemahiran menjalin dan mengekalkan hubungan, penyelesaian masalah, cara menghadapi kekecewaan emosi dana kemahiran menghadapi kegagalan.

Perkara yang paling penting dalam kepimpinan adalah dengan menilai diri sendiri serta berani melakukan perubahan.  Bab-bab terawal hanyalah sebagai sandaran serta panduan untuk kita bermula dan mengenali diri sendiri.  Tanpa dorongan serta semangat yang kuat kita tidak akan mampu melakukan perubahan.  Sekiranya kita hanya berpegang pada cara pemikiran yang lama tanpa ingin berubah, kita tidak akan mampu untuk pergi lebih jauh.

Dengan memahami isi kandungan buku ini dan mengamalkannya, pembaca dapat meningkatkan motivasi diri seterusnya sentiasa bersikap positif dalam setiap perkara yang dilakukan.

****kakak saya seorang guru dan diwajibkan untuk membuat book review...dan saya pulak mempublishkan kat sini...she wont mind...